Wednesday, 29 May 2013

PEMIMPIN CAHAYA UMMAH

     Masa bergerak begitu pantas kerana pejam celik sahaja kita sudah berada pada alaf milenium di samping menelusuri, meniti abad yang mendatang. Abad ke-21 telah mencetuskan pelbagai hasrat dan cetusan idea kerajaan dalam usaha untuk memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadi sebuah negara mapan dan progresif menjelang tahun 2020. Bertitik tolak daripada hal ini, pemimpin dilihat merupakan insan terpenting dalam memacu kegemilangan Malaysia.
     Menurut Kamus Dewan, perkataan kepimpinan diambil daripada kata akar pimpin. Perkataan pemimpin pula dapat ditakrifkan sebagai orang yang memimpin. Bersangkutan dengan hal ini, saya amat bersetuju dan tertarik dengan laporan Berita Harian pada 12 April yang lepas iaitu “Utama Pemimpin Amanah,Berwawasan”. Hal ini dikatakan demikian kerana, pemimpin ialah orang yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin sekumpulan manusia atau sesebuah organisasi di dalam sesebuah negara.
     Menyingkap kepada sudut perspektif yang utama dan khusus, antara tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat ialah menjaga agama, berlaku adil dalam melaksanakan pemerintahan dan menyediakan keperluan asasi kepada rakyat.Buktinya, seperti yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Razak ke atas perubahan dan janjinya kepada rakyat untuk mendapatkan kesejahteraan dan kemakmuran negara, menerusi projek Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M), dan telah menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah jenama 1 Malaysia.
     Hatta demikian, rakyat juga haruslah memainkan peranan dalam mentaati pemimpin selagi tidak bercanggah dengan syarak,membantu pemimpin dalam mencapai wawasan negara. Di samping, sentiasa memberi sokongan dan maklumbalas dengan cara yang baik.

     Sebagai penghias bicara akhir, dapatlah saya konklusikan di sini bahawa, ciri-ciri seseorang pemimpin yang harus kita pilih ialah beriman dan beragama, berakhlak mulia, bertanggungjawab, bersikap adil, sedia menerima pandangan, jujur, berani, tegas, boleh menjadi model untuk rakyat dan mengamalkan sikap kesederhanaan dalam kehidupannya. Akhirulkalam, biar matahari terus bersinar, biar pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus kekal gilang-gemilang di persada antarabangsa.

No comments:

Post a Comment